Bukan sebab umur


Teringat dulu masa di universiti, ada teman sebilik yang sangat rajin mengemas. Teman sebilik ni, tua sikitla daripada aku. Dalam hati, agaknya nanti aku masa seumur dengan dia rajinlah. Sekarang aku sedar, sebenarnya umur bukan akan menjadikan kita automatik jadi seperti yang kita rasa kita akan buat apabila tiba masanya. Macam yang Prof Kamil cuba sampaikan dalam artikel kat bawah ni (terpaksa copy paste sebab tak nampak ruangan arkib kat blog prof), nak berbuat amal, solat berjemaah apabila dah bersara, sebenarnya apabila tiba masanya, kalau tidak dimulakan daripada sekarang, pasti bila bersara pun kita tidak akan buat. Moralnya, nak buat apa-apa, kena buat daripada sekarang. Biar perlahan-lahan tapi kita mencuba untuk istiqamah. Macam kes aku, setelah 12 tahun meninggalkan universiti, aku masih tidak rajin (baca : malas) mengemas. 


Baik, aku akan kemas bilik sekarang supaya aku tidak perlu mengulang catatan ini lagi 10 tahun. Astaghfirullah. Aku mohon kekuatan dan kerajinan daripada-Mu Ya Allah.



  • TUA BERUBAN TIDAK DISEDARI

    10 Safar 1435
    Usia bersara wajib menandakan kita sudah tua melampau. Namun itulah waktu sedikit yang dianggap sangat signifikan. Malah saat itulah justifikasi mahu melunaskan kembali hutang-piutang yang sering disebut-sebut akibat kesibukan bekerja hingga tidak sempat untuk solat berjemaah di masjid.
    Ramai yang mempunyai angan-angan untuk bertaubat ketika di hari persaraan. Bahasa lebih lunak ialah ingin berubah (hampir kepadaNya) dengan bersungguh dengan meletakkan sasaran masa. Ia masa akan datang.
    Itulah yang diucapkan oleh rakan sejawat beberapa tahun sebelum memasuki alam persaraan. Maksudnya ... beliau seolah-olah berkata, "saya tidak mahu hampir denganNya sekarang tetapi menangguhkan seketika sehingga usai dengan dunia kerjaya".
    Kini, setelah beberapa tahun bersara beliau masih berlagu perkara yang sama. Masih mahu melakukan itu dan ini dengan pelbagai retorik yang melunakkan hati. Masjid masih kelihatan berpuluh batu jauhnya.
    Penangguhan waktu itu - rupanya - bukan berada di tangan sendiri. Bila sampai waktunya, masa menjadi terlalu sempit. Ia disempitkan dengan dunia ciptaan sendiri yang melihat keindahan dunia melangkaui keperluan menanti saat-saat kematian yang bakal tiba.
    Benar sekali amaran Allah SWT. Mereka yang tidak meluangkan masa untukNya akan disempitkan masa di dunia. Mereka tetap miskin jiwa dan perasaan.
    Menarik … pesaraan wajib bukanlah faktor yang boleh disandarkan. Misalnya, usia persaraan mereka yang bekerja dengan sektor awam beranjak-anjak. Ketika mula bekerja kami ditawarkan usia persaraan pada usia 55. Kemudian diubah kepada 56, 58 dan terkini 60 tahun.
    MasyaAllah … jika umur kematian bersamaan dengan umur kematian Baginda SAW maka selang masa bertaubat dengan saat kematian kurang-lebih di sekitar tiga tahun. Angan-angan bertaubat tiba-tiba terlupa ketika sampai waktunya. 
    Berapa ramai yang masih sibuk bermain golf pada usia bersara wajib? Tetap … mereka masih tidak dapat solat berjemaah di masjid. Solat mereka di kawasan rehat selepas menamatkan 9 lubang pertama. Bersara atau tidak, mereka masih meneruskan kegiatan yang tidak menggambarkan yang saat-saat kematian sangat hampir. 
    Berapa ramai yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan kerana memiliki wang pampasan persaraan. Mereka masih memerlukan sesuatu extra di dunia walaupun kelihatan dunia persaraan sudah memadai untuk mengatakan yang kubur kelihatan sangat hampir.
    Sibuknya mengalah ketika berada di kemuncak kerjaya. Kesibukan yang melalaikan. Persaraan tidak membawa mereka ke masjid. Usia luput tidak menjamin mereka berfikir betapa kehidupan di dunia itu merupakan permainan dan hiburan yang melekakan.
    Lakulah apa sahaja - beriadah atau meneruskan kerjaya - tetapi biarlah ia tidak lagi mengganggu amal ibadat asas seperti solat berjemaah di masjid yang mencerminkan kesungguhan kita mahu menghampirkan diri kepadaNya.
    Bersediakah kita? Kami mohon keampunanMu.

    http://muhdkamil.org/pensyarah/mki

Comments
One Response to “Bukan sebab umur”
  1. Assalamualaikum, saya blogwalking kat sini, jemput datang ke blog saya http://ibu2ahmad.blogspot.com

Leave A Comment